Rabu, 01 Januari 2014
David Teo Nafi Sindir Filem Hans
Penerbit terkenal, David Teo menafikan dakwaan dirinya ada mengeluarkan kenyataan berbaur sindiran terhadap filem arahan Hans Isaac, Lemak Kampung Santan (LKS) yang mendapat kutipan rendah jika dibandingkan dengan filem Adnan Sempit 3.
Adnan Sempit 3 yang diterbitkan oleh Metrowealth Sdn Bhd berjaya mencatatkan kutipan sebanyak RM2.3 juta dalam enam hari tayangan sementara LKS hanya mampu mengutip sebanyak RM100,000 dalam tempoh masa yang sama.
Mengulas mengenai perkara itu, David menjelaskan, “masakan saya boleh mengeluarkan kenyataan sedemikian. Saya menegaskan sekali lagi bahawa saya tidak pernah mengeluarkan apa-apa kenyataan yang merendahkan filem Lemak Kampung Santan. Tambahan pula Hans Isaac sendiri orang lama dalam industri dan juga merupakan kawan baik saya”.
Sehubungan itu, David yang kini sedang bercuti di Taiwan, akan cuba menghubungi Hans untuk memastikan hubungan baiknya dengan pengarah dan pelakon berusia 42 tahun itu akan terus berkekalan seperti sebelumnya.
“Apabila kembali ke Malaysia nanti saya sendiri akan menghubungi Hans untuk memastikan hubungan baik yang terjalin selama ini akan terus berkekalan. Semoga filem Lemak Kampung Santan, Adnan Sempit 3 dan semua filem Malaysia terus mendapat sokongan padu peminat filem tempatan,” katanya yang dipetik menerusi portal Buahmulut.
Oleh: AUDREY LEE
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar