Rabu, 01 Januari 2014
Wanita mangsa keganasan rumah tangga
RABU, 21 MAC 2012
ASP Mariyani Abdul Wahab.
BANDAR SERI BEGAWAN - Lebih dari 90 peratus daripada mangsa keganasan rumah tangga adalah terdiri dari kaum wanita yang dilaporkan mengikut Statistik kes keganasan rumah tangga yang disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Penderaan Wanita dan Kanak-Kanak.
Ini menunjukkan bahawa wanita lebih mudah menjadi mangsa keganasan rumah tangga.
Perkara tersebut telah dibicarakan oleh Pegawai Unit Siasatan Jenayah Penderaan Wanita dan Kanak-Kanak, ASP Mariyani Abdul Wahab semasa menyampaikan kertas kerjanya bertajuk "Kasih Sayang Erat Membanteras Keganasan Rumah Tangga" dalam Seminar Program Pembangunan Keluarga Islam dengan tema "Semakin Hari Semakin Sayang", petang tadi.
Statistik keganasan rumah tangga dalam empat tahun kebelakangan ini tidak ada menunjukkan peningkatan yang ketara seperti yang diramalkan. Ini kerana kurangnya kesedaran masyarakat tentang bahayanya keganasan rumah tangga.
Bagi menangani isu keganasan rumah tangga dengan lebih berkesan kerajaan telah membuat pindaan kepada dua undang-undang dengan memasukkan peruntukan keganasan rumah tangga (Dharar Syarie) dalam Perintah Undang-Undang Keluarga Islam (Pindaan) 2010 dan Perintah Akta Perempuan Bersuami (Pindaan) 2010 yang telah mula berkuatkuasa pada 26 Jun 2010.
Kedua-dua perintah tersebut merangkumi beberapa perkara, antaranya ialah perlindungan kepada mangsa atau ahli keluarga yang diganasi, memelihara hak-hak mangsa dan juga penekanan mengenai pembaikpulihan institusi keluarga tersebut.
ASP Mariyani menerangkan bahawa kebanyakan kes-kes keganasan rumah tangga yang ditangani oleh Unit Siasatan Jenayah Penderaan Wanita dan Kanak-Kanak adalah akibat tekanan yang dihadapi seperti kesusahan ekonomi (status kewangan), kehadiran orang ketiga di dalam hidup suami isteri, sikap panas baran dan cemburu, dan juga pengambilan benda terkawal seperti dadah dan alkohol.
Untuk mengelakkan berlakunya keganasan rumah tangga itu, ASP Mariyani menyarankan agar pasangan-pasangan hendaklah menjalani kehidupan yang harmoni dan memupuk kasih sayang dalam keluarga dan saling hormat menghormati.
Selain itu pasangan suami isteri perlu menunaikan tanggungjawab mereka agar mereka dapat mengatasi masalah yang timbul.
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar