Senin, 24 Februari 2014

Jumlah Penagih Dadah Golongan Belia Menurun


PUTRAJAYA – Statistik penagih dadah golongan belia yang dikesan dari Januari hingga Julai tahun ini menunjukkan penurunan sebanyak 15 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Rohani Abdul Karim berkata jumlah penagih belia pada tahun ini ialah 2,242 iaitu 70.4 peratus dari jumlah keseluruhan penagih, seramai 3,185 orang.

“Jumlah penagih tahun lepas ialah 3,767. Golongan belia didefinasikan berumur antara 16 hingga 39 tahun,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Program Bual Bicara Kenali anak kita peringkat kementerian serta Majlis menandatangani memorandum kerjasama antara Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dan Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih) di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Noorul Ainur Mohd Nor, Pengerusi LPPKN, Tan Sri Napsiah Omar serta Yang Dipertua Pengasih, Datuk Yunus Pathi serta penyanyi Jamal Abdillah.

Beliau berkata antara faktor penurunan itu ialah keberkesanan program yang dijalankan kementerian dalam memberi pendedahan kepada ibu bapa mengenai bahaya dadah.

Terdahulu dalam ucapannya, Rohani berkata jurang perbezaan antara remaja dan ibu bapa perlu diuruskan dengan bijaksana kerana ia amat mempengaruhi hubungan kekeluargaan terutamanya melibatkan komunikasi dalam keluarga.

“Komunikasi yang baik dan harmoni di dalam keluarga merupakan pemangkin kepada kasih sayang dan kesejahteraan keluarga, ini semua akan lebih mudah dicapai sekiranya ibu bapa memahami dan mengetahui personaliti dan perkembangan anak remaja mereka,” katanya.

Beliau berkata ibu bapa juga perlu menjadi model peranan atau contoh teladan yang baik kepada anak-anak.

Dalam perkembangan lain, Rohani menggalakkan supaya taska sektor korporat yang berdaftar dengan kementerian diperbanyakkan lagi untuk meningkatkan semangat bekerja di kalangan wanita.

“Bila ibu bapa berasa selamat dengan persekitaran tempat anak-anak mereka dijaga maka akan meningkatkan keyakinan serta semangat mereka bekerja,” katanya. – BERNAMA

Tidak ada komentar:

Posting Komentar