Kamis, 19 Desember 2013
Polis disyaki ahli kongsi gelap
Abdul Aziz (kiri) bersama Timbalan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Negeri Pahang Superintendan Rosly menunjukkan barangan yang dirampas dalam serbuan ke atas sebuah rumah malam kelmarin.
TEMERLOH – Seorang anggota polis antara empat individu yang ditahan bersama sejumlah dadah dan senjata berbahaya dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Bahagia Indah di sini jam 8.50 malam kelmarin.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, mereka yang ditahan terdiri dari tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 21 hingga 27 tahun dipercayai menganggotai kumpulan kongsi gelap berdasarkan rampasan lapan pedang samurai dan lima pistol mainan.
Menurutnya, polis turut merampas sepucuk pistol jenis .38, gari dan lapan butir peluru hidup dari salah seorang lelaki yang ditahan.
“Dalam serbuan Ops cantas dan Ops tapis di rumah terbabit polis juga merampas pelbagai jenis dadah jenis syabu, pil kuda dan satu alat penimbang digital dipercayai untuk pengedaran dadah.
“Polis masih menyiasat sama ada kumpulan ini juga adalah geng yang melakukan aktiviti samun dan pecah rumah berdasarkan beberapa penemuan barangan daripada mereka,” katanya pada sidang media semalam.
Abdul Aziz berkata, antara barangan lain yang ditemui bersama kumpulan terbabit ialah tujuh jam tangan jenama Rolex, Casio, G-Shock, Goer dan Oris, 19 telefon bimbit pelbagai jenama, walkie-talkie, selaras senapang angin buatan sendiri dan sebilah pisau.
Beliau berkata, kesemua yang ditahan tidak mempunyai rekod kesalahan lampau tetapi ujian air kencing kesemua didapati positif dadah jenis methamphetamine.
“Kesemua mereka akan direman untuk siasatan di bawah Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960, Seksyen 7 (1) (a) 1958 kerana memiliki senjata berjadual dan Seksyen 36, Akta Senjata 1960 kerana memiliki pistol tiruan,” katanya.
Abdul Aziz berkata, anggota yang ditahan akan disiasat di bawah Akta Polis 1967 kerana memiliki peralatan dibekalkan kepada polis dan Seksyen 29 kerana gagal menjelaskan pemilikan.
Menurutnya, mereka juga akan disiasat di bawah Seksyen 39 A (1) dan Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Hasil siasatan mendapati rumah yang diserbu itu disewa wanita terbabit bersama suaminya, bagaimanapun ketika serbuan suami wanita terbabit tiada dalam rumah,” katanya.
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar